Quantcast
Channel: Ku Lihat Langit Biru
Viewing all articles
Browse latest Browse all 490

BAPA TERKEJUT MELIHAT BIL HOSPITAL ANAKNYA?

$
0
0
Seorang bapa, Philip Loh terkejut apabila bil hospital untuk anak lelakinya yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kecederaan teruk, hanya RM31 sahaja.
Menurut Loh, anak lelakinya dimasukkan ke Hospital Ampang selepas terlibat dalam kemalangan mengakibatkan lengan kirinya berlubang hingga mencederakan saraf dan otot.
“Pakar bedah menjalankan pembedahan sehari selepas itu bagi memperbetulkan saraf serta ototnya dan anak lelaki saya dirawat dengan sangat baik oleh jururawat dan kakitangan perubatan.
“Dan apa yang paling mengejutkan ialah bil hospital untuk keseluruhan rawatan serta pembedahan itu hanya RM31 (atau kira-kira US$7,75 kepada rakan-rakan saya di Amerika Syarikat),” tulis Loh di Facebook yang turut menjadi viral serta dikongsi hampir 5,000 pengguna Facebook setakat berita ini ditulis.
“Anda tidak akan jumpa negara seperti Malaysia yang menyediakan perkhidmatan perubatan yang sangat baik kepada rakyatnya,” kata Loh.
Pada 12 Mei lalu, seorang lagi pengguna Facebook, Razali Raihayu turut berkongsi rasa syukurnya yang dia hanya perlu membayar RM31.80 bagi rawatan bapanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dia sedang beratur di depan kaunter pembayaran di HKL ketika membawa bapanya bagi mendapatkan rawatan radioterapi kanser.
“Kami sangat tidak berduit bulan itu. Saya hanya ada RM100 dalam poket saya (dan langsung tiada duit di dalam bank). Itu sahaja wang yang saya ada untuk makan tengahari dan bagi membayar tol untuk pulang ke Melaka,” tulis Razali.
Katanya, dia hampir pengsan apabila melihat bil yang diberikan berjumlah RM11,000.
Bagaimanapun kakitangan hospital memintanya agar tidak risau dan memintanya pergi ke kaunter pembayaran.
Di situ, selepas mengesahkan kerakyatan bapanya, dia diberi bil baharu dengan ditandakan sebagai ‘warganegara’ dan bil baharu itu hanya berjumlah RM31.80.
Razali berkata dia menangis di situ kerana sebak dan ketika mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital, dia diberitahu semua warganegara Malaysia layak menerima rawatan perubatan yang murah di hospital kerajaan.
Pada 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyentuh mengenai hospital kerajaan berkata, jika warganegara Malaysia mendapatkan rawatan di pesakit luar, dia hanya dikenakan caj RM1 manakala caj bagi doktor pakar hanya RM5 dan ubat diberikan percuma.
“Secara amnya, subsidi perubatan di Malaysia adalah 98 peratus, bermakna 98 peratus kos perubatan untuk setiap pesakit warganegara Malaysia ditanggung kerajaan,” katanya.
Sementara itu di Pulau Pinang, kerajaan pimpinan DAP secara senyap-senyap menjual sebidang tanah di Peel Avenue bagi pembinaan hospital swasta mewah yang dijangka hanya memanfaatkan golongan berada sahaja.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 490