Quantcast
Channel: Ku Lihat Langit Biru
Viewing all articles
Browse latest Browse all 490

Sistem Penyampaian Kerajaan e-Suka di Pertingkatkan - MB

$
0
0
KEMAMAN - Kerajaan negeri hari ini memperkenalkan Sistem Ukuran Kepuasan Awam (e-Suka) bagi memperkasa sistem penyampaiannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, e-Suka adalah selari dengan usaha merealisasi prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Beliau berkata, e-Suka dibangunkan Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN) dengan kerjasama anak negeri syarikat kerajaan negeri Top-IT Industries untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam negeri, memperkasa produktiviti jabatan dan mendapatkan maklum balas yang telus daripada rakyat.

"Sistem ini akan mengambil kira penilaian rakyat atau orang awam terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan kerajaan negeri terutamanya perkhidmatan kaunter," katanya dalam ucapan sempena Program Jalinan Mesra Bersama Penjawat Awam dan Pelancaran e-Suka yang dihadiri lebih 1,800 penjawat awam di Dewan Seri Amar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff Awang serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Ir Rosli Othman.  

Ahmad Razif turut menyampaikan tablet kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan untuk melicinkan pelaksanaan e-Suka.

"Melalui sistem e-Suka ini, orang awam boleh menilai perkhidmatan dengan memilih ikon yang dipaparkan pada skrin di kaunter jabatan kerajaan, sama ada  cemerlang, memuaskan, kurang memuaskan dan tidak memuaskan.

"Dengan adanya e-Suka, pihak pengurusan tertinggi kerajaan negeri akan dapat memantau maklum balas yang diberikan orang awam," katanya.

Beliau berkata, untuk permulaan sistem tersebut akan diperkenalkan di Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan Negeri.

"Jabatan-jabatan ini dipilih kerana ia sentiasa berurusan dengan orang awam," katanya.

Sementara itu Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan sistem e-Payang bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat.

"Melalui sistem ini, pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) boleh memasarkan produk mereka secara atas talian," katanya. - Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 490