Kuantan: Asrama Pusat Pendidikan Islam An-Nuur, Pantai Sepat, Kuantan musnah dalam kejadian kebakaran, 8.15 malam tadi.
![asrama-terbakar]()

Seramai 113 pelajar terselamat kerana ketika kejadian mereka tidak berada di bilik masing-masing.
Pengasasnya Mokhtar Senik berkata, ketika kejadian semua pelajar sedang mengikuti kuliah di masjid di pusat berkenaan sementara menunggu waktu solat Isyak.
“Bangunan asrama itu musnah dalam sekelip mata dan kerugian dianggarkan kira-kira RM400,000.
“Kita masih menunggu laporan daripada pihak bomba berhubung punca kejadian, saya difahamkan mereka akan ke sini lagi esok untuk membuat siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.20 malam.
“Empat jentera dengan kekuatan 24 anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba kita mendapati api sudah marak dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan asrama itu.
“Kita cuba mengawal api dari terus marak ke bangunan berhampiran dan bernasib baik kerana penghuni asrama tidak berada di dalam bangunan berkenaan,” katanya. – HM