KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemimpin PAS semalam mempersoalkan dakwaan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos yang beliau mencampakkan kembali sebuah beg berisi RM1 juta yang ditawarkan kepadanya oleh tauke judi haram bagi menutup pendedahan mengenai kegiatan mereka.
Menulis dalam lidah rasmi PAS Harakahdaily, bekas pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Subky Latif berkata sekiranya ia benar terjadi, ia merupakan suatu ujian daripada Allah yang biasa berlaku ke atas golongan zuhud.
“Itulah yang terjadi antara Nabi Yusuf yang digoda oleh Zulaika, isteri pembesar Mesir.
“Tingginya takwa Jamal yang menolak duit sejuta itu kira macam laki-laki menolak godaan wanita, sama seperti martabat Nabi Yusuf,” tulis Subky.
“Jika kejadian Jamal itu berlaku di zaman pra kelahiran Nabi Muhamad SAW, nescaya Jibril akan wahyukan kepada Nabi untuk diceritakan kepada umat tentang tingginya moral orang-orang beriman.”
Bagaimanapun, Subky berkata adalah lebih baik Jamal menyerahkan wang itu kepada pihak berkuasa.
“Sepatutnya Jamal tak campak balik duit itu. Dia patut hantar duit ke rumah pasung, supaya polis buat siasatan dan cari pencampaknya.
“Jika duit jatuh ke tangan Robin Hood kenyanglah gelandangan dan orang yang tak berduit membeli ikan/sayur yang naik harga,” katanya.
Pada 6 Januari, Jamal mendakwa ditawarkan wang RM1 juta oleh kumpulan judi haram dengan tujuan menghentikannya tindakan menimbulkan kekacauan terhadap kegiatan mereka, seminggu selepas beliau bersama sekumpulan pemuda bermotorsikal bertindak menyerbu pusat judi haram di Ampang.
“Saya menerima banyak panggilan daripada tauke mesin judi untuk berjumpa dengan saya. Mereka menawarkan wang ringgit dan bayaran setiap bulan dengan jumlah yang sangat memeranjatkan.
“Dan baru sebentar tadi saya tersempak atau diekori dan diberikan sebuah beg yang dikatakan berisi RM1 juta. Saya mencampakkan kembali beg tersebut kepada tauke judi itu,” kata beliau sebelum ini.
Subky bagaimanapun mempersoalkan sama ada beg tersebut benar-benar mengandungi jumlah wang sebanyak itu.
“Jika dalam beg itu ada sejuta, adakah Jamal sudah bilang dan sempat bilang?” soalnya.
Tambahnya, tindakan terpuji Jamal itu sepatutnya diceritakan oleh orang lain dan bukan beliau sendiri.
“Tapi Jamal cerita sendiri akan yang dikatakan terjadi padanya. Kerana Jamal selalu diiringi pengikut-pengikutnya, seperti Ali Baba ke mana pun akan bersama 40 orang yang sepertinya, patutnya ia diceritakan oleh orang-orang yang menemani Jamal. Tidak pula Jamal yang beritahu orang.”